Malaysia capai 43% petunjuk SDG, lepasi purata dunia

Ia petanda Malaysia berjaya mendepani cabaran menerusi pembaharuan, kata perdana menteri.

Pencapaian Malaysia dari segi petunjuk SDG mengatasi purata dunia pada 17%. (Gambar EPA Images)
Pencapaian Malaysia dari segi petunjuk SDG mengatasi purata dunia pada 17%. (Gambar EPA Images)

KUALA LUMPUR: Malaysia mencapai 43% daripada keseluruhan 248 petunjuk terkini Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), jauh mengatasi purata dunia pada 17%, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, prestasi itu memberi petanda bahawa Malaysia berjaya mendepani cabaran yang dihadapi menerusi pembaharuan, namun ia bukanlah satu jaminan yang kekal.

“Bila ada perbincangan, saya nyatakan jangan membuat ukuran begitu. Pencapaian ini hanya memberi sedikit petanda. Tetapi kita harus tanya apakah pencapaian cita-cita Ekonomi Madani dan SDG ini, sesuatu yang perlu untuk negara dan bagi manusia.

Sekiranya jawapan itu perlu, maka kita harus bergegas dengan upaya yang lebih untuk mencapai prestasi yang terbaik. Itu bagi saya petanda aras kita,

 kata Anwar menerusi ucap tama beliau semasa merasmikan Sidang Kemuncak SDG 2024.

Justeru, beliau berkata, Malaysia terus komited untuk mencapai matlamat SDG dengan cara terbaik.

Kita harus melakukan apa sahaja yang perlu sebaik mungkin untuk memastikan kita mencapai matlamat ini dengan lebih hebat lagi kerana itulah sebenarnya makna Madani,

 katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan komited untuk menangani isu-isu nilai, kemanusiaan, dan belas ihsan, melangkaui tonggak utama SDG, yang menumpukan kepada kepentingan ekonomi, sosial, dan alam sekitar.

Saya terkejut dengan hakikat bahawa masih ada pemimpin yang tidak percaya dengan impak daripada iklim. Dengan semua tahap kecanggihan, pengetahuan dan pemahaman ini, kita masih berdepan masalah itu,

 tegas beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, ini bahagian yang perlu sentiasa ditambah baik.

Ekonomi, pembangunan dan kemampanan tidak bermakna jika tidak ada kefahaman selain tentang apa itu ihsan dan kemanusiaan, apa itu keadilan dan keselamatan termasuk persekitaran dan iklim yang sebahagiannya boleh kita tentukan dan sebahagiannya kita terima sebagai kenyataan undang-undang hukum alam,

 kata Anwar.

Oleh itu, selain memberi penekanan kepada kerangka SDG, negara perlu melakukan perubahan selari dengan tuntutan semasa, kata beliau.

Sumber: FMT

Share: