
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia mencapai kedudukan yang baik dalam petunjuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), mendahului pencapaian dunia.
Perdana Menteri berkata, berdasarkan analisis 248 petunjuk SDG terkini, Malaysia berada pada di kedudukan yang baik iaitu sekitar 43 peratus berbanding pencapaian dunia 17 peratus.
Meskipun pencapaian itu agak baik, beliau berkata negara perlu terus meningkatkan lagi usaha bagi mencapai prestasi lebih baik lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Mengulas kejayaan itu, Perdana Menteri berkata, pencapaian berkenaan memberi sedikit petanda yang baik, namun Malaysia harus bergegas dengan upaya yang lebih untuk mencapai prestasi terbaik, yang menjadi petanda aras bagi negara.
Beliau berkata, Malaysia harus melakukan apa saja yang perlu sebaik mungkin untuk memastikan negara mencapai matlamat dengan cara yang paling cemerlang.
Katanya, pencapaian yang bukan saja mencakupi kepentingan ekonomi, tetapi juga sesuatu yang begitu kritikal untuk kelangsungan hidup manusia dan negara.
Jelasnya, pengertian pembangunan ekonomi saja tidak mencukupi, tetapi kini ia merangkumi kefahaman mengenai ihsan, kemanusiaan, keadilan dan keselamatan termasuk persekitaran alam sekitar dan iklim.
Tambahnya, selain melihat kepada matlamat SDG dan Kerangka Ekonomi MADANI, perlu juga menanam semangat dan kekuatan melakukan perubahan supaya sejajar dengan tuntutan semasa.
“Ia adalah mengenai kelestarian, keinsanan, belas kasihan dan menghargai keperluan untuk terus hidup sebagai sebuah negara dan kemanusiaan.
“Ini bermakna dalam tempoh pasca normal ini untuk memastikan kita menangani isu-isu ini (SDG), dengan kelajuan dan kepantasan yang dianggap belum pernah terjadi sebelumnya dan diputuskan berdasarkan kepentingan kelangsungan hidup umat manusia dan negara,” katanya.
Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 adalah kerjasama dari Pusat SDG Negara (PSN), Kementerian Ekonomi bersama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) yang akan membabitkan pihak berkepentingan dari sektor kerajaan dan sektor swasta berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan ke arah pencapaian agenda SDG.
Sumber: Berita Harian