
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024, hari ini.
Beliau berkata, pelan itu dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG, malah ke peringkat melangkaui tahap pematuhan sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.
“Saya memastikan keperluan memastikan syarikat kecil dan sederhana (PKS) tidak dibebankan dengan kos yang tinggi dalam usaha mematuhi garis panduan ESG, justeru menggalakkan bantuan latihan penerapan ESG dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini penting bagi menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing, sayugia kementerian-kementerian yang berkaitan disaran memperkukuh program latihan bersesuaian kepada entiti perniagaan yang disasarkan,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas menyampaikan mesyuarat berkenaan.
Anwar berkata, berhubung prestasi semasa indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara, mesyuarat dimaklumkan Malaysia mencatatkan kemajuan memberangsangkan dengan mencapai pencapaian 43 peratus sasaran SDG menjelang 2030.
Beliau berkata, ia mengatasi purata dan pencapaian global pada 17 peratus.
“Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh dengan sasaran indikator SDG negara, seiring dengan sasaran-sasaran Ekonomi MADANI sementelahan pendekatan keseluruhan negara amat penting dalam mempergiat dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang telah dirangka,” kata beliau. – Bernama
Sumber: Sinar Harian