
KUALA LUMPUR: Malaysia masih mencatatkan kemajuan positif walaupun berdepan cabaran dan situasi semasa di peringkat global serta tempatan, termasuk kesan pasca pandemik COVID-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi serta kemelut geopolitik antarabangsa.
-IKLAN-
Iklan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mengikut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1 (tiada kemiskinan), pencapaian yang dilakar negara adalah merekodkan penurunan peratusan di bawah garis kemiskinan daripada 8.4 peratus pada 2020 kepada 6.2 peratus pada 2020.
Mengikut SDG 8 (pekerjaan yang sesuai dan pertumbuhan ekonomi), beliau berkata Malaysia turut merekodkan penurunan kadar pengangguran daripada 4.6 peratus 2021 kepada 3.4 peratus pada Ogos lalu.
Selain itu, mengikut SDG 17 (kerjasama demi matlamat), katanya Malaysia juga merekodkan penggunaan internet meningkat daripada 81.2 peratus pada 2018 kepada 97.4 peratus pada 2022.
Untuk mencapai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (Agenda 2030) hanya berbaki lebih kurang tujuh sahaja lagi, mesyuarat Majlis SDG Negara yang beliau telah diuruskan pada hari ini memuktamadkan beberapa keputusan bagi memastikan pelaksanaan SDG yang lebih berkesan.
Antaranya menambah baik struktur tadbir urus SDG Kebangsaan selari dengan fungsi semasa kementerian.
“Memperkasa peranan kementerian-kementerian di peringkat Persekutuan sebagai kementerian peneraju bagi setiap matlamat SDG.
“Kementerian peneraju bertanggungjawab untuk melaksanakan gerak kerja bagi memastikan setiap sasaran SDG dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan. Dalam hubungan ini, semua wacana dan program anjuran kementerian dan agensi perlu dijajarkan kepada SDG.
“Pusat SDG Negara (PSN) di bawah Kementerian Ekonomi dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan tindakan penyelarasan SDG di peringkat kebangsaan.
“Ia termasuk meningkatkan pencapaian SDG negara serta meningkatkan kesedaran dalam pelaksanaan SDG dan penerima guna prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis SDG Negara ialah struktur tadbir urus tertinggi berkaitan pelaksanaan 17 SDG di Malaysia.
Selari dengan pendekatan keseluruhan negara, mesyuarat ini turut dihadiri wakil pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor termasuk sektor awam (Persekutuan dan negeri), sektor awam dan pertubuhan masyarakat sivil bagi membincangkan agenda pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, buat kali pertama, Malaysia menetapkan sasaran indikator SDG kebangsaan termasuk bertindak memuktamadkan sembilan inisiatif mempercepatkan pencapaian SDG di negara ini.
“Semua sasaran indikator SDG kebangsaan dan inisiatif ini akan diterjemahkan dalam Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan Fasa 2 yang akan diterbitkan pada Disember ini.
“Kerajaan sentiasa komited untuk mencapai Agenda 2030 dan akan terus melaksanakan tindakan bagi mencapai 17 SDG.
“Sehubungan itu, komitmen daripada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak lain yang berkepentingan adalah penting untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2030,” katanya.
Sumber: Berita Harian



