Malaysia capai 43 peratus indikator SDG

KUALA LUMPUR: Malaysia mencapai sekitar 43 peratus daripada keseluruhan 248 petunjuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan agak baik itu berbanding pencapaian dunia yang puratanya hanya 17 peratus.

” Maknanya kita sudah mendepani, tetapi apabila ada perbincangan saya nyatakan jangan buat ukuran. Itu hanya memberi sedikit petanda tetapi kita harus bertanya dahulu apakah tahap pencapaian Ekonomi Madani dan SDG ini suatu yang perlu bagi negara dan bagi manusia.

“Sekiranya jawapan itu perlu, maka kita harus bergegas dengan usaha yang lebih untuk mencapai prestasi yang lebih baik.

“Itu bagi saya tanda aras kita. Walaupun kita bangga kerana pencapaian 43 peratus ketimbang 17 peratus yang dicapai secara purata itu sudah satu tahap yang sangat menggalakkan,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kejayaan Malaysia berbanding negara lain hanyalah kejayaan relatif.

“Saya percaya jika, ia adalah soal keyakinan, maka kita harus melakukan apa sahaja yang perlu sebaik mungkin untuk memastikan kita mencapai matlamat ini dengan cara yang paling menakjubkan.

“Ini kerana itu adalah petanda tentang maksud Ekonomi Madani. (Ia) adalah tentang kelestarian, ihsan dan belas kasihan serta menghargai keperluan untuk terus hidup sebagai sebuah negara, sebagai manusia.

“Ini bermakna dalam masa pasca normal ini untuk memastikan kita menangani isu-isu ini, dengan kelajuan dan kelajuan yang dianggap belum pernah berlaku sebelumnya, dan yang diputuskan berdasarkan kepentingan kelangsungan hidup negara dan umat manusia,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Kongsi: