Anwar ulangi komitmen Malaysia jayakan Agenda 2030 untuk pembangunan mampan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi komitmen Malaysia dalam melaksanakan Agenda 2030 untuk pembangunan mampan seperti yang dimeterai bersama 192 negara lain pada 2015.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mencatatkan prestasi baik dalam petunjuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terkini dengan mencatatkan 43 peratus berbanding purata dunia sekitar 17 peratus, pencapaian itu tidak membawa sebarang makna signifikan jika prinsip keadilan, ihsan dan kesejahteraan alam sekitar tidak diberi penekanan.

“Insya-Allah, kerajaan beriltizam memperkasakan aspek kemampanan di bawah gagasan Madani melaksanakan pembangunan yang seimbang, bernuansa citra Malaysia yang unik,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook.

Ketika merasmikan Sidang Kemuncak SDG 2024 hari ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia mencapai 43 peratus daripada keseluruhan 248 petunjuk terkini SDG jauh melebihi purata dunia pada 17 peratus.

Beliau berkata prestasi itu jelas memberi tanda bahawa Malaysia berjaya menghadapi cabaran menerusi pembaharuan namun ia bukanlah satu jaminan yang kekal.

Agenda 2030 ialah komitmen global kepada arah pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif dengan 17 SDG serta 169 sasaran.

Sumber: Harian Metro

Kongsi: