
KUALA LUMPUR, 24 Julai: Usaha Kementerian Ekonomi menoktahkan kemiskinan di Negeri Sembilan melalui pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dilihat telah membuahkan hasil.
Timbalan Menterinya Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, di negeri itu ketika ini bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar adalah sifar berdasarkan data Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih).
Jelas beliau berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 pula, insiden kemiskinan tegar di Negeri Sembilan ialah 0.1 peratus.
“Insiden kemiskinan tegar mengikut daerah di Negeri Sembilan adalah seperti berikut iaitu Jelebu 0.6 peratus, Seremban 0.1 peratus dan Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau, Tampin dan Jempol pula masing-masing adalah 0 peratus.
“Program IPR berupaya menggalakkan golongan sasar bekerja bagi menjana pendapatan tambahan secara mampan dan berharap tidak kembali terjerumus ke dalam kancah kemiskinan pada masa akan datang,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Kesavadas A.Achyuthan Nair yang meminta statistik terkini insiden kemiskinan tegar mengikut daerah di Negeri Sembilan serta bagaimanakah IPR berupaya menjadi langkah realistik dan relevan bagi tempoh lima hingga 10 tahun mendatang kepada rakyat di kawasan luar bandar untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
Mengulas lanjut Hanifah berkata, pihaknya juga melaksanakan program peningkatan kapasiti dan modal insan serta kursus pengurusan asas kewangan dan book keeping kepada peserta-peserta IPR yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik universiti awam dalam memastikan kelestarian program ini dalam jangka masa panjang.
Selain itu tambahnya, ekosistem penawaran dan permintaan turut diwujudkan di bawah IPR iaitu menyediakan pembeli sedia ada.
Antara pelaksanaan program IPR di negeri itu adalah IPR-Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), IPR-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan Basmi Miskin Tegar (BMT) yang menyaksikan golongan bersasar telah mendapat limpahan manfaat program berkenaan. – TVS
Tags: Datuk Hanifah Hajar Taib, Dewan Rakyat, Kementerian Ekonomi, miskin tegar, parlimen, Timbalan Menteri Ekonomi
Sumber: TVS